Selasa, 8 Februari 2011

Doakan untuk kesihatan mereka...

Sedang kini, ramai saudara, rakan dan taulan yang sedang sakit...Sebagai insan kita perlu mendoakan dan memberi keyakinan bahawa mereka akan terus sembuh sediakala. Doa adalah satu cara yang kita ada dan CARA seorang Muslim melawat saudaranya yang sakit berbeza dengan cara yang dilakukan oleh bukan Islam kerana disertakan dengan jampi dan doa. Maka di antara sunnahnya ialah kita hendaklah mendoakan si sakit dan menjampinya (membaca bacaan tertentu) yang ada diriwayatkan oleh Rasulullah SAW.

Contohnya: Imam al-Bukhari menulis "Bab Du'a al-'Aa'id lil Maridh" (Bab Doa Menziarahi Orang Sakit) dan menyebutkan hadis Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu didatangkan kepada baginda SAW, Baginda mengucapkan (doa yang bermaksud): "Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit." (Riwayat al-Bukhari dalam Fathul-Bari No.5675).

Dan Nabi SAW juga pernah menjenguk Sa'ad bin Abi Waqash kemudiannya Baginda SAW mendoakannya (yang bermaksud): "Ya Allah sembuhkanlah Sa'ad dan sempurnakanlah hijrahnya." (Riwayat al-Bukhari dalam fathul-Bari No.5659).

Ada sesetengah orang mengemukakan pandangan tidak perlu didoakan kesembuhan kerana mereka beralasan bahawa sakit dapat menghapuskan dosa dan mendatangkan pahala seperti disebutkan dalam beberapa hadis. Bagi kemusykilan itu, al-Hafiz Ibnu Hajar memberikan jawapan demikian, "Sesungguhnya doa itu adalah ibadat dan tidaklah menafikan antara pahala dan kafarat (penghapus dosa).

Sebab keduanya diperoleh pada permulaan sakit dan dengan sikap sabar terhadapnya. Adapun orang yang mendoakan, akan mendapat dua macam kebaikan, iaitu mungkin memperoleh apa yang dimaksudkan atau diganti dengan mendapatkan manfaat lain atau ditolaknya suatu bahaya yang mana semuanya itu adalah kurniaan Allah SWT."

Memanglah seorang Muslim itu hendaklah bersabar ketika menderita sakit atau ditimpa musibah, tetapi hendaklah juga ia meminta keselamatan kepada Allah SWT seperti hadis sabda Baginda SAW: "Janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah SWT. Tetapi apabila kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahawasanya syurga itu di bawah bayang-bayang pedang." (Hadis Muttafaqun 'alaih daripada Abdullah bin Abi Aufa).

Dalam hadis Ibnu Abbas, bahawa Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkan berdoa memohon 'afiat (keselamatan)." (Riwayat al-Tabrani dan adh-Dhiya').

Salah satu doa Nabi SAW (yang bermaksud): "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu penjagaan daripada yang terlarang dan keselamatan dalam urusan dunia dan agamaku, keluarga dan hartaku." (Hadis riwayat al-Bazzar daripada Ibn Abbas).

Di antara doa lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amir, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang menjenguk orang sakit, maka hendaklah ia mendoakannya dengan mengucapkan, "Ya Allah, sembuhkanlah hamba-Mu, agar dia dapat membunuh musuhmu atau berjalan kepada-Mu untuk melakukan solat." Maksud musuh di sini mungkin orang-orang kafir yang memerangi umat Islam atau Iblis dan tenteranya.

Selain itu ada lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas berhubung sabda nabi SAW: "Barang siapa yang menjenguk orang sakit yang belum tiba ajalnya, lalu ia mengucapkan doa ini di sisinya sebanyak tujuh kali (yang bermaksud "Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi 'arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu") nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). Doa-doa ini saudara boleh dapatkan dalam buku-buku doa keluaran Telaga Biru Sdn.Bhd.

Di antara sunnahnya lagi iaitu kita harus memberi harapan sembuh kepada pesakit seperti ucapan yang sering diucapkan oleh Baginda SAW iaitu, "La Ba'sa Tohurun, Insya-Allah" (maksudnya: tidak apa-apa, bersih (sembuh), Insya-Allah). Maksud tidak apa-apa itu ialah jangan bimbang kerana penyakit yang dihidap akan sembuh. Ucapan ini menimbulkan keyakinan, sekali gus menjadi doa semoga hilang penyakit dan penderitaannya serta kembali sihat di samping dapat menghapuskan dosa-dosanya.

Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan hadis daripada Abu Sa'is al-Khudri secara marfu' (maksudnya): "Apabila kamu menjenguk orang sakit, maka hendaklah kamu beri harapan akan panjang umur. Kerana yang demikian itu, meskipun tidak dapat menolak takdir sedikit pun, tetapi dapat menyenangkan hatinya." (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi).

Sementara itu, bagi pesakit yang tiada harapan untuk sembuh, mengikut Sunnatullah- maka hendakah si pelawat itu memohon kepada Allah SWT agar Dia memberikan kasih sayang dan tunjukkanlah sikap yang lemah lembut kepadanya dan meringankan penderitaannya.

Sumber : BHarianOnLine 2010/01/30

Tiada ulasan:

PERSONA PERANGAI

Asslamualaikum dan Salam Sejahtera... Satu ketika nanti, pasti dunia ini akan dihancurkan, Setelah fasa-fasa kehidupan seorang i...