Ahad, 19 Disember 2010

Startegi & Strategi Perkahwinan

Ehsan daripada pembacaan seseorang mengenai...Perkahwinan...

Setiap perkahwinan akan berada dalam salah salah satu daripada dua situasi;
sentiasa mengarah pada kebahagiaan atau sentiasa mengarah pada penderitaan.
Jarang yang berada di tengah-tengah; bahagia tidak, derita pun tidak.
Selalunya ia akan memberat kepada salah satu.

Perkahwinan yang dimulakan tanpa persediaan yang mencukupi tidak mustahil
akan sentiasa menuju ke arah penderitaan manakala perkahwinan yang sempurna
persediaannya tidak mustahil menuju ke arah kebahagiaan. Apakah
bentuk-bentuk kebahagiaan yang dimaksudkan?

1. Bahagia apabila berpandukan agama

Bahagia, melalui suluhan agama bermaksud kehidupan yang didasarkan pada
kehendak ALLAH sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi dan Rasul-NYA. Mungkin
tidak semuanya mampu kita lakukan tetapi sekurang-kurangnya kita
bercita-cita untuk menjadikan Islam itu sebagai cara hidup kita dan berusaha
ke arah itu. Bahagia dalam suluhan agama tentunya membuahkan hasil cemerlang
untuk dunia dan akhirat.

2. Berilmu

Hendak melakukan apa pun, kita perlu berilmu. Ilmu membezakan kualiti hasil
kerja seseorang dengan seseorang yang lain. Melayari rumah tangga ibarat
mengemudi sebuah bahtera. Tanpa ilmu mustahil rumah tangga dapat distabilkan
apabila cabaran datang sebagaimana mustahil menyelamatkan bahtera daripada
tenggelam jika ilmu tentang pelayaran tidak mencukupi.

Ilmu melayari rumah tangga meliputi segalanya – psikologi, agama, ekonomi,
politik, sosial dan lain-lain.

3. Berbekalkan kasih sayang

Bukan semua perkahwinan bermula dari kasih sayang. Sesetengah perkahwinan
bermatlamatkan perniagaan, politik-politik tertentu bahkan ada yang memang
berteraskan niat-niat jahat. Kebahagiaan memang tidak akan ditempuh dalam
satu-satu perkahwinan yang tidak ditolak oleh kasih sayang. Oleh yang
demikian, ikhlaslah dalam berkasih sayang.

4. Jujur

Banyak perkahwinan runtuh akibat kejujuran yang terhakis. Kejujuran
datangnya dari hati yang ikhlas. Tanpa keikhlasan,kejujuran sukar dibentuk.
Jujurlah menyayangi pasangan anda kerana kejujuran ibarat pelekat pada dua
keping kertas yang asalnya terpisah.

5. Membasmi perhubungan silam

Masih ada kenangan-kenangan lama? Hapuskan segera dan tumpukan perhatian
anda pada pasangan anda sekarang. Mungkin anda tidak akan mampu menghapuskan
kesemuanya, layanilah seadanya. Selagi ia tidak mengabaikan perhatian serta
tanggungjawab anda, ia masih dikira munasabah tetapi andainya ia membuatkan
anda lupa kewajipan yang sedang dipikul, maka anda amat bersalah.

6. Cinta seadanya

Cintailah pasangan anda itu seadanya. Jangan terlalu menyintai takut-takut
anda tidak redha dengan ketentuan ILAHI andai ditakdirkan dia pergi dulu.
Takut-takut anda terlalu membencinya jika perpisahan terjadi menyebabkan
anda bertindak sesuatu di luar batasan.

7. Menjaga lidah

Lidahlah yang membuka pintu Syurga dan dengan lidah jugalah terbuka pintu
neraka. Rumah tangga turut menjadi neraka apabila lidah disalah guna.
Gerakkan lidah untuk memuji pasangan. Selongkarlah kehebatannya dan
perkatakan selalu, jangan asyik membangkitkan kelemahannya, kelak dia benci
dan marah.

8. Kewangan yang stabil

Kehidupan mutakhir ini memerlukan kewangan yang kukuh untuk menikmati segala
kemudahan yang ditawarkan. Anda perlu berusaha kuat untuk memastikan
keluarga yang anda bentuk tidak goyah oleh faktor ekonomi. Ia satu perkara
yang sangat perlu anda berikan perhatian.

9. Kesediaan mutlak

Sebaik sahaja anda melangkahkan kaki ke alam perkahwinan, anda perlu sedar
dengan semua risiko yang bakal dihadapi. Kesemuanya menjadi mudah jika anda
telah benar-benar bersedia untuk mengongsikan hidup anda dengan seseorang
yang sebelum ini asing bagi anda. Kesediaan anda perlu mutlak.

10. Tiada imaginasi liar

Nikmati hidup ini dengan imaginasi indah mengikut ketentuan ILAHI. Semua
gangguan yang datang jangan disambut dengan imaginasi liar, kelak ia akan
merosakkan hidup anda, seterusnya meruntuhkan rumah tangga anda.

Untuk renungan insan yang ingin membina masjid kehidupan...

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

utk ssuatu yg penuh melankolik.ckp x srupa bikin x sma apa yg dibca.alami dulu bru bleh crite....

Tanpa Nama berkata...

wow... post yg sungguh informatif.. thanks blogger

Ilham berkata...

Melankolik atau melankolis sebagai berasa atau memperlihatkan perasaan sedih, dukacita, sugul, mengharukan dan seumpama dengannya...Ada pendapat mengatakan 3 kategori manusia dalam alam fana ni:

1. Orang bijak yang belajar selepas mengalami sesuatu pengalaman pada diri sendiri.

2. Orang sangat bijak yang belajar melalui pengalaman orang lain sebelum terkena pada diri sendiri.

Jadinya, sesuatu yang melankolik itu tidak dapat diukur tepat kerana subjektif dengan adanya takdir yang Maha Esa, setiap orang perlu sentiasa redha dan cuba buat yang terbaik untuk diri dan orang sekeliling. Fikir yang positif dalam kehidupan dapat kurangkan yang negatif...

Tanpa Nama berkata...

Rasanya, tiap dari kita perlu sentiasa ingat mengingatkan dalam kehidupan...Takda siapa yang nak tragis dalam kehidupan...

Ilham berkata...

Setuju, sebab Ingat-menggingati amalan mulia dan dituntut, agar tidak tersandung lagi dalam kehidupan...Sejarah mengajar segalanya...Tiap dari kita tidak sempurna dan sentiasa berusaha mencari kesempurnaan...

FANTASI ITU REALITI

"Ada tidak menambah, Tiada tidak mengurang" Tapi, "Work to be seen, Work not to be seen" Terpenting, "K...